‎‎0‎ ‎ ‎

Sunday, September 15, 2013

Acerola Sarat Vitamin C

Ceri Acerola

Nama botani Ceri Acerola ialah Malpighia emarginata/glabra, dari kerabat pepohonan Malpighiaceae.‎ Dikenali juga Ceri Barbados, West Indian Cherry, Cerise des Antilles, Cerise de la Barbade, Puerto Rican Cherry, Crapemyrtle dan berbagai nama menurut negara di mana ia tumbuh. Di Malaysia, ada yang menamakannya Ceri Siam.

Acerola berasal dari Yucatán (Mexico). Tumbuh bertaburan di Mexico, ‎Peru, Brazil, Caribbean, Florida, Lembah Rio Grande Texas. Turut di tanam di ‎negara-negara tropika dan sub-tropika, termasuk Australia, Kepulauan Canary, Madagascar, ‎Ethiopia, Zanzibar, Ghana, India, China, Taiwan, Hawaii, Australia, dan Thailand.

Pohon Acerola rendang, tidak besar. Tinggi sekitar 2-3 meter, kadangkala mencecah 6 meter. ‎Dahan-dahannya kecil dan pendek.Bagi penggemar pokok hiasan, pohon Acerola sering di bentuk menjadi "bonsai".

Besar ceri Acerola, sekitar 1-3 sm diameter, kecil sedikit dari buah longan/lengkeng biasa. Berangkai dan berumpun 2 biji atau lebih. Warna hijau ketika muda, ‎merah muda terang apabila mula masak, merah kehitaman apabila ‎ranum. Ceri Acerola mentah (muda, masak atau ranum) boleh lansung di makan. Rasanya masam-manis. Isinya lembut, penuh jus, ‎bagaikan isi jambu air, sesuai di buat jus. 

Acerola ‎|‎ Nutrien

Keistimewaan Acerola terletak pada kandungan vitamin C yang sangat tinggi. Acerola sarat kandungan vitamin C. Semakin matang/ranum, ‎semakin kurang vitamin C di dalamnya.

Antara buah-buahan yang tinggi kandungan vitamin C, Acerola dipercayai berada di ranking ke-5 dunia: 1) Kakadu Plum 2,300-3,150 mg/100gm; 2) Camu-Camu 2,700 mg/100gm; 3) Goji Berry 2,500 mg/100gm; 4) Rosehips (Beri Mawar) 1,150-‎2,500 mg/100gm; 5) Ceri Acerola/Barbados 1,644-1,678 mg/100gm.

Sebiji ceri Acerola yang kecil juga mengandungi zat gizi: kalsium, besi, magnesium, manganese, potassium, phosphorus, copper/tembaga ‎dan zinc. Kandungan magnesium, potassium dan B5 adalah 2 kali ganda melebihi oren, kandungan vitamin C-nya pula "luarbiasa" melebihi 65 kali ganda dari oren, yakni menyamai dos saranan harian (RDI) dari U.S.FDA = 60 mg !

Acerola juga kaya vitamin A. Terdapat juga vitamin B1 ‎‎(thiamine), B2 (riboflavin), B3 (niacin), B5 (asid pantothenik), dan B9 (Folate).

Di samping zat gizi dan vitamin-vitamin, Acerola juga mengandungi unsur-unsur anti-oksidan ‎yang bermanfaat untuk kesihatan; seperti carotenoid dan bioflavonoid. ‎

Acerola rendah lemak tepu dan sodium (garam), sangat rendah kolesterol. ‎

Acerola ‎|‎ Manfaat Kesihatan

Keunggulan Acerola terletak pada sarat kandungan vitamin C. Manfaat Acerola lebih merujuk kepada berbagai manfaat vitamin C pada kesihatan tubuh manusia.

1    Tubuh Memerlukan Dos Mega Vitamin C.   Menurut kajian Dr. Thomas Levy M.D., disiarkan dalam “the Annals of the New York ‎Academy of Sciences”1961, kenapa binatang mampu terus hidup sihat, manakala manusia terpaksa menanggani salah satu atau lebih penyakit kronik yang dihidapi selama beberapa tahun dalam hayat mereka? Sebabnya ialah binatang mampu menghasilkan ‎sendiri vitamin C. Contohnya, kambing liar menghasilkan sendiri lebih kurang 13,000 mg/hari, bahkan meningkat kepada 100,000 mg/hari apabila menghadapi jangkitan atau keracunan yang ‎mengancam nyawa mereka. Menurutnya lagi, dos vitamin C yang tinggi mampu melawan ‎serangan bakteria, jangkitan virus, toksin, sariawan "SAR", penyakit hati "hepatitis" dan penyakit kulit "herpes". Bahkan dos yang ‎sentiasa tinggi mampu mengawal perkembangan AIDS.

Para saintis dan doctor banyak sepakat mempertahankan bahawa Dos Saranan Harian (RDA) vitamin C perlu lebih tinggi bagi ‎memelihara kesihatan dan melawan penyakit. Lebihan pengambilan vitamin C adalah selamat dan bukan penyebab kepada batu ‎karang ginjal. “The United States' Vitamin C Foundation” ‎mengesyorkan setiap lelaki, perempuan, kanak-kanak (usia 13 tahun ke atas), perlu mengambil ‎sekurang-kurangnya 3,000 mg/hari vitamin C bagi memelihara kesihatan yang optima; ‎wanita hamil 6,000 mg/hari; dan waktu di serang penyakit 20,000 - 30,000 mg/hari. ‎

Linus Pauling – Pemenang Nobel Prize di bidang Kimia menyarankan 2,000 - 12,000 mg/hari. Dr. Robert Cathcart III, pula menyatakan apabila tubuh kurang sihat tubuh mampu menyerap ‎vitamin C antara 4,000 -16,000 mg/hari. ‎Dr Frederick Klenner, seorang doktor klinik dan pengkaji dari Reidsville, North Carolina, melapurkan dos ‎vitamin C yang tinggi – sehingga 20,000 mg/hari selama 3 hari – telah menyembuhkan 60 pesakitnya yang mengidap "Polio". Lapuran ini ‎telah disiarkan di dalam jurnal perubatan, namun aneh di anggap sepi, tidak di beri perhatian!‎

Dan untuk selsema parah “flu” –  kajian menunjukkan 20,000 mg/hari akan memberi manfaat. ‎Untuk penyakit kayap (“shingles”) – kajian menunjukkan keadaan selepas serangan virus yang ‎menyakitkan mampu disembuhkan, dengan 3,000 mg; memakan 4 biji tablet ‎‎(1,000 mg/biji) untuk 3 hari akan memberi kesan positif. Penyakit jantung dan saluran darah ke jantung memerlukan 6,000 - 18,000 mg/hari. Kajian oleh Dr .Hickey & Dr. Roberts, pesakit kanser ‎memerlukan 14,000 - 39,000 mg/hari.

Justru, Acerola adalah ceri/buah yang luarbiasa kandungan vitamin C; setiap 100 g Acerola segar mampu membekalkan dos mega lebih kurang 1,677 mg vitamin C, yakni 1,864% ‎dari jumlah saranan (RDI / RDA) yang disarankan oleh "the United States FDA". ‎Ia juga di iktiraf selamat di makan oleh ‎badan permakanan dan perubatan FDA, USA.‎

2   Penghasilan Kolagen.  Vitamin C menyihatkan kolagen, bahkan terlibat secara lansung dalam setiap proses penghasilan kolagen. Kolagen tidak dapat dihasilkan tanpa vitamin C. Pembinaan dan keutuhan kolagen sentiasa memerlukan bekalan vitamin C. Tubuh perlu vitamin C setiap hari, untuk menghasil, membina, dan mengutuhkan kolagen.

Kolagen adalah sejenis protein, dari kalangan berbagai jenis protein. Kolagen paling banyak terdapat di dalam tubuh, dan berada pada setiap anggota tubuh. Ia berupa serat putih yang liat dan teguh, lebih teguh dari kawat/dawai logam yang sama ukuran. Ia juga sebagai "elatin" berwarna kuning (lapisan pelindung pada urat saraf). Kolagen merupakan komponen utama pada serat-serat tisu yang saling terhubung; seperti kulit, tendon, ligamen, cartilage, jantung, cornea mata, tulang, gigi, usus, pembuluh-pembuluh dan saluran-saluran darah, bahkan pada setiap bahagian tubuh. Semuanya terikat rapi mendirikan seluruh tubuh. Justru, adalah menjadi syarat utama memelihara kolagen sihat di dalam tubuh agar struktur tubuh sentiasa utuh.

Kekurangan vitamin C akan melemahkan kolagen. Akibatnya, jantung, pembuluh darah dan organ-organ lain tidak mampu menjadi sihat. Sistem-sistem di dalam tubuh tidak mampu berfungsi dengan sempurna. Berbagai jenis penyakit akan muncul; seperti biri-biri, gusi berdarah, gusi mengecut dan gigi tanggal, tulang mudah retak, tulang rapuh, keradangan sendi, kerosakan cartilage pada sendi-sendi “osteoarthritis” dll. Tubuh perlu vitamin C setiap hari, untuk menyihatkan kolagen.

Justru, bekalan vitamin C yang mencukupi setiap hari sangat diperlukan oleh tubuh bagi menghasil, mengutuh dan menyihatkan kolagen.

3   Pemampan Sistem Kekebalan Tubuh. Vitamin C berperanan membantu memelihara sistem kekebalan tubuh agar sentiasa mampu berfungsi dengan berkesan. Fungsi sistem kekebalan ialah melindungi tubuh dari sebarang serangan atau jangkitan mikro-organisma yang boleh menjejaskan kesihatan; seperti bakteria, virus, dan kulat/jamur dll. Sistem ini menghasilkan sel-sel darah putih (sel-sel kekebalan); terutama “phagocytes” dan “T-lymphocytes” serta jenis sel-sel kekebalan yang lain, sebagai penggempur dan penghapus mikro-organisma tersebut.

Vitamin C membantu sistem kekebalan memperbanyak penghasilan sel-sel kekebalan ini. Oleh yang demikian, vitamin C banyak terdapat pada sel-sel kekebalan, dan sangat cepat dipergunakan apabila berlaku serangan atau jangkitan mikro-organisma.

Vitamin C juga melindungi sel-sel kekebalan. Ketika sel-sel kekebalan T dan phagocytes-phagocytes lain bertindak meliputi dan menelan mikro-organisma, sel-sel kekebalan menggunakan oxygen dalam bentuk “superoxide” sebagai bahan penghapus. Namun, superoxide ini juga sebenarnya membahayakan sel-sel kekebalan tersebut, kerana ia merupakan radikal bebas. Akan tetapi, Vitamin C sebagai anti-oksidan mampu melindungi sel-sel kekebalan ini dari serangan sebarang radikal bebas termasuk superoxide. Vitamin C dipergunakan oleh sel-sel kekebalan sebagai perisai perlindungan dari serangan radikal bebas ketika bertindak-balas dengan mikro-organisma.

Kekurangan vitamin C bukan sahaja boleh menjejaskan fungsi sel-sel kekebalan, akan tetapi sel-sel kekebalan akan cepat lemah dan musnah. Akhirnya, memberi kesan buruk kepada sistem kekebalan tubuh, mengurangkan dayatahan tubuh dari serangan mikro-organisma. Justru, bekalan vitamin C yang mencukupi setiap hari sangat diperlukan oleh sistem kekebalan tubuh.

4    Acerola Anti-Oksidan.
   Kepadatan vitamin C dalam Acerola adalah bernilai tinggi sebagai anti-oksidan. Kajian yang tersiar dalam jurnal “Food Science and ‎Technology International” dan “Plant Foods and Human Nutrition” menyatakan, Acerola muda, ‎yakni belum matang/ranum, memiliki lebihan vitamin C, kandungan “polyphenol” didalamnya ‎melebihi kira-kira 2 kali ganda, lebih berkemampuan melindungi DNA tubuh dari ancaman radikal bebas.

Kepadatan vitamin C dalam Acerola di anggap mampu meningkatkan aktiviti anti-oksidan, dan ‎sangat berkesan menyihatkan tubuh. Kajian yang tersiar dalam “Journal of Agricultural and Food ‎Chemistry” menyatakan, nilai anti-oksidan Acerola bersumber dari unsur-unsur kimia asli “poly-‎phenolic anthocyanidin”: seperti asid chlorogenik, asid ferulik, delphinidin, malvidin, ‎pelargonidin, peonidin, petunidin, tannins, cyanidin-3-glycoside, quercetin, dan kaempferol. ‎

Anthocyanidin adalah gerombolan molekeul flavonoid yang bermanfaat pada kesihatan tubuh. Eksperimen-eksperimen makmal menunjukkan bahawa anthocyanidin membantu menghalang dan ‎meringankan beberapa jenis penyakit termasuk kanser, kencing manis, penyakit kesakitan payudara ‎‎(fibrocystic disease), keradangan, jangkitan bakteria dan kakacauan saraf (neurological ‎impairments - jenis kemerosotan saraf yang berkaitan dengan sistem pusat saraf merangkumi otak ‎dan tulang belakang tubuh).

Anthocyanidin juga mempunyai nilai anti-keradangan yang ‎mengurang/merawat sakit kepala, memberi kesan yang sama sepertimana aspirin dan ibuprofen. ‎Juga membantu merawat demam dan sakit tekak/tenggorokan. ‎

5      Anti-Keradangan.   Vitamin C adalah anti-keradangan yang berkesan pada keseluruhan anggota tubuh. Pada dasarnya, keradangan adalah sebahagian dari tindak-balas sistem kekebalan tubuh. Tubuh cuba melindungi diri dari sebarang unsur-unsur yang membahayakan kesihatan; seperti bakteria, virus, kulat/jamur, sisa-sisa toksik, sel-sel yang mati dll. Apabila unsur-unsur yang membahayakan kesihatan ini menjangkiti pada mana-mana bahagian tubuh, sistem kekebalan bertindak-balas untuk cuba me-nyahkan unsur-unsur tersebut. Sekaligus memulakan proses penyembuhan pada bahagian tubuh yang terjejas. Kesan tindak-balas ini dapat di lihat melalui gejala keradangan yang timbul atau dialami.

Kadangkala, keradangan merebak, menjadi parah/kronik, proses penyembuhan di dalam tubuh tidak berlaku sewajarnya. Keadaan ini boleh menimbulkan berbagai masalah kesihatan yang lain, boleh menyebabkan berbagai penyakit kepada tubuh; seperti penyakit "rheumatoid arthritis", sistem kekebalan tubuh terjejas dan terkeliru, risiko sakit jantung dll.

Oleh kerana Vitamin C adalah anti-keradangan, sudah semestinya vitamin C sangat penting dan diperlukan oleh tubuh. Vitamin ini memberi kesan positif pada keseluruhan tubuh. Berperanan melindungi sendi-sendi tulang, kulit dan sebagainya. Membantu tubuh merawat dan menghalang keradangan dari terus merebak menjadi kronik. Melawan sebarang penyakit yang disebabkan keradangan; seperti arthritis, fibromyalgia (keadaan lemah berpanjangan seluruh tubuh terutama pada bahagian sendi-sendi, otot-otot, tendon, dan tisu-tisu lembut penghubung tulang), kelesuan melampau dan sebagainya.

Apabila keradangan berlaku, kolagen di dalam cartilage boleh runtuh, penyebab terjadinya “osteoarthritis”. Keadaan ini membuat tulang bergeseran sesama sendiri, menyebabkan rasa nyilu dan sangat menyakitkan. Dengan bekalan vitamin C yang sentiasa mencukupi, dapat mempertahan dan memperteguhkan cartilage dan tisu-tisu penghubung yang lain, dan mengurangkan beban kesakitan yang dialami.

Gejala-gejala keradangan lain juga dapat dihindari; termasuk angina (sakit menyucuk/memulas di dada jantung seperti tidak mendapat bekalan darah yang mencukupi), bisul mulut dan bibir, gusi berdarah, gingivitis (bengkak gusi), gigi longgar, sengal dan sakit sendi, mudah terseliuh, bronchitis, sakit kerongkong (tenggorokan), jangkitan saluran air kencing dll.

Vitamin C adalah vitamin yang terserap air. Tubuh terus menyerap dan menggunakannya serta-merta. Jika berlebihan dan tidak diperlukan, akan lansung dikeluarkan dari tubuh. Oleh kerana ia tidak di simpan di dalam tubuh, maka adalah penting mendapatkannya melalui permakanan pada setiap hari. Ia sangat bermanfaat bagi menanggani masalah keradangan.

6     Acerola Anti-Penuaan. Kajian terbaru dalam bidang kosmetik mendapati vitamin C ‎adalah anti-oksidan yang sangat berkesan sebagai pemusnah radikal bebas yang mengancam kulit. ‎

Nilai anti-oksidan vitamin C dan bioflavonoid yang terkandung dalam Acerola mampu ‎membina dan memelihara kolagen bagi menganjalkan ‎kulit, membantu pertumbuhan dan baik-pulih tisu-tisu tubuh, tisu-tisu penghubung dan saluran-‎saluran darah.

‎Berserta kandungan vitamin yang lain dan protein, Acerola juga mengandungi garam galian yang dapat ‎membantu menyegar kembali kulit-kulit yang lusuh dan luluh; menghalang penuaan kulit dan ‎penuaan sel-sel tubuh; menghalang perubahan tona dan warna kusam kulit; dan menghalang kekedutan. ‎Acerola kini sangat “popular” menjadi bahan tambahan@utama dalam produk-produk penjagaan kulit. ‎

Acerola mampu bertindak sebagai pemangkin kepada sistem kekebalan tubuh, yang berfungsi ‎mengatur kadar metabolisma tubuh dan mempercepat kesembuhan dari kecederaan luka, ‎kelecuran, dan calar. Ia juga penawar terbaik bagi menghalang masalah gigi dan gusi, ‎penyakit kulit seperti kayap, kurap, panau dan sebagainya. ‎

7     Acerola Menyihatkan Darah.  Acerola mengandungi vitamin, zat gizi dan enzim ‎yang membantu tubuh menyerap zat besi, zat yang penting bagi pembinaan hemoglobin di dalam ‎tubuh. Zat besi membantu membekal oxygen kepada sel-sel, menghasilkan kolagen, menstabilkan ‎fungsi dayatahan tubuh, dan menghalang anemia (kurang darah dan pucat). Menurut “The Institute ‎of Food and Agricultural Sciences at University of Florida, the U.S. Department of Agriculture's ‎National Nutrient Database for Standard Reference”, zat besi dalam Acerola ‎sesuai untuk tubuh. ‎

8     Acerola Untuk Diabetes. Kajian juga menunjukkan bahawa "asid chlorogenik" di dalam Acerola membantu ‎mengurangkan kadar gula dan mengawal tahap glukos dalam darah pada pesakit Kencing Manis “Jenis-II ‎diabetes mellitus.”

9     Acerola Untuk Perut, Usus, dan Hati. Acerola mampu menyembuhkan masalah perut ‎dan usus; seperti gastrik, sembelit, cirit-birit, muntah-berak, dan organ hati yang kurang sihat ‎lemah atau hepatitis. ‎

10    Acerola Untuk Kesihatan Jantung dan Pencegah Arteriosclerosis. Unsur-unsur anti-oksidan ‎yang terkandung di dalam Acerola, seperti bioflavonoid dan carotenoid, membantu merendahkan ‎tahap kolesterol LDL (kolesterol mudarat) di dalam darah dan mengurangkan kesan ‎‎“arteriosclerosis” (saluran darah arteri mengeras, tidak anjal). Anti-oksidan jenis ini juga membasmi mana-mana anasir ‎kanser dan melindungi kulit dari sebarang jangkitan atau menjadi berpenyakit. Acerola boleh di anggap sebagai tonik kesihatan untuk organ jantung dan saluran-saluran darah ke ‎jantung. ‎

11    Acerola Anti-Kanser, Pelindung Radiasi Nuklear. Dr. Atsuo Yanagisawa, M.D., Ph.D., dari “the Japanese College of IV Therapy” telah membuat ‎kajian ke atas para pekerja Fukushima yang mengendalikan pembersihan runtuhan-runtuhan yang tercemar ‎radio-aktif selama 5-6 minggu. Sebelum memasuki ‎medan tercemar radio-aktif, sebahagian dari para pekerja diberikan dos pra-rawatan 25,000 ‎mg vitamin C dan anti-oksidan lain seperti asid alpha-lipoik dan vitamin E. Kesannya, kesemua mereka terlindung dari kerosakan DNA dan risiko kanser. Pada pekerja yang tidak menerima dos pra-rawatan, mereka dicemari radiasi. Setelah di beri rawatan selama 2 bulan, DNA mereka yang rosak kembali ke tahap normal, seluruh gejala ‎risiko kanser yang mereka hidapi juga kembali ke tahap normal. ‎

Satu kajian lain dari Harvard Medical School juga menunjukkan kesan positif yang sama. Para Pengkaji merumuskan bahawa Vitamin C bukan sahaja melindungi dari kesan radiasi, juga memperbaiki mana-mana kerosakan yang telah berlaku akibat dedahan kepada radio-aktif tersebut, melindungi sel-sel tubuh dari dimusnahkan oleh radiasi. Experimen menunjukkan sekiranya manusia terdedah kepada radiasi yang parah, dos 10,000 mg/hari telah membuktikan mampu memperbaiki kerosakan kepada sel-sel tubuh.

Acerola adalah superfood sarat vitamin C yang mampu ‎melindungi dari kesan radio-aktif  ! ‎

12    Lain-lain Khasiat Acerola.  Acerola membantu menghasilkan hormon melatonin, iaitu hormon ‎yang bertindak sebagai anti-stres. Manfaat lain termasuk mengurangkan gejala menopaus; seperti ‎keletihan, kesakitan payudara dan gelodak perasaan mudah marah.

‎Acerola juga mengandungi vitamin A, zat yang penting untuk menambah-baik penglihatan mata, saluran ‎pernafasan dan lapisan tisu lembab. Penilaian yang di buat oleh “USDA National Nutrient ‎Database for Standard Reference” meletakkan Acerola pada ranking ke-3 memiliki kepadatan ‎kandungan vitamin A dari mana-mana buah-buahan tropika. ‎

Produk-Produk Acerola

Banyak produk-produk supplemen Acerola yang terjual di pasaran antarabangsa; dalam bentuk tablet, serbuk/bubuk, atau pun jus. Produk-produk tersebut banyak dihasilkan dari China. Terdapat juga produk yang dihasilkan dari Brazil dan India.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...